20 September, 2023: Pihak Kolej mengalu-alukan kedatangan Prof. Dr. H. Idrus Ruslan, M.Ag, Wakil Rektor Bidang Kemahasiswaan dan Kerja Sama dan Dr. H. Abdul Syukur, M.Ag, Dekan Fakultas Dakwah dan Ilmu Komunikasi, UIN Raden Intan Lampung ke Kolej Dar al-Hikmah. Seminar Dakwah dan Pemikiran Madani telah dianjurkan dimana kedua-dua tokoh bersama Dato’ Presiden Kolej Dar al-Hikmah telah membentangkan tajuk-tajuk berikut:
Pembentangan 1: “Gagasan Madani Sebagai Penerus Agenda
Islah dan Tajdid”
Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Presiden Kolej Dar al-Hikmah
Pembentangan 2: "Moderasi Beragama Pada Masyarakat
Multikultural"
Pembentangan 3: "Urgensi Filologi untuk Pengayaan
Materi Dakwah di Nusantara"
Dr. H. Abdul Syukur, M.Ag, Dekan Fakultas Dakwah dan Ilmu
Komunikasi, UIN Raden Intan Lampung
Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty mengambil iktibar dari bulan Rabi’ul Awwal iaitu bulan kelahiran Rasulullah s.a.w sebagai Rasul pelengkap ajaran kesemua Rasul dan Nabi yang terdahulu. Sebagai contoh Nabi Musa a.s hanya diutuskan kepada Bani Israil dan Nabi Isa a.s memfokuskan kepada kemurnian aqidah ketuhanan. Nabi Muhammad s.a.w membawa agenda Islah dan Tajdid yang telah melengkapkan kesemua ajaran yang terdahulu. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty juga menjelaskan ide atau pemikiran Madani telah dibicarakan oleh YAB Perdana Menteri sejak dari tahun 1970an bersama dengan tokoh-tokoh pemikir dari Indonesia. Kesemua tokoh-tokoh ini telah menyumbang dan memurnikan gagasan Madani ini untuk dijadikan sebagai agenda membangun umat Islam.
Prof. Dr. H. Idrus Ruslan, M.Ag pula dalam pembentang beliau menegaskan perlunya kepada budaya toleransi dengan penganut agama-agama yang lain. Budaya ‘takfiri’ atau ideologi Salafi Takfiri ini bukan saja memerangi orang kafir malah turut memerangi umat Islam yang dilihat bersekutu dengan kerajaan kafir. Umat Islam harus kembali menghayati ajaran murni daripada al Qur’an dan apa yang telah dipraktikkan oleh Rasululullah s.a.w. Sementara Dr. H. Abdul Syukur, M.Ag dalam pembentangan beliau menekankan kepada perlunya para mahasiswa dan ilmuwan untuk merujuk kepada teks yang asli, bukan hanya terjemahan atau kupasan dari penulis yang lain. Kajian filologi akan pastinya dapat membantu para ilmuwan untuk lebih memahami maksud dan konteks setiap teks untuk dijadikan panduan dan pengajaran buat generasi hari ini.
Selain dari warga Kolej, seminar ini turut dihadiri oleh
para mahasiswa UIN Imam Bonjol yang kini sedang menjalani latihan praktikal di
Sekolah Rendah/Menengah Islam ABIM Sungai Ramal. Seminar diakhiri dengan Majlis
Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi. Pihak
Kolej mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran kedua-dua tokoh dan akan
meneruskan kerjasama untuk manfaat semua.


No comments:
Post a Comment