01 Jun, 2023: Pihak Kolej sangat berbahagia menerima kunjungan Habib Mahdi Al Hamid, Pengasas dan Pengetua Maahad Tahfiz Dar Tarim, Shah Alam (https://dartarim.com). Kehadiran beliau dan rombongan telah disambut oleh Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty beserta warga Kolej. Dalam tausiah ringkas, Habib Mahdi Al Hamid memperingatkan peri pentingnya ilmu dalam menuju jalan ke syurga. Pelajar yang sedang menuntut ilmu tidak seharusnya terlibat dalam perkara maksiat atau melalaikan kerana ilmu itu adalah petunjuk. Beliau juga menyatakan sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah melalui akhlak dan adab mulia para pendakwah dan pedagang, bukan melalui kekerasan dan peperangan. Justeru, Habib Mahdi menyatakan akhlak dan adab mulia adalah elemen penting dalam pembetukan peribadi dan karekter dalam dakwah Islamiyah.
Dalam menjawab soalan mengenai cabaran media sosial pada hari ini, Habib Mahdi mengibaratkan teknologi informasi adalah sebagai alat, sama seperti sebilah pisau yang boleh mendatangkan manfaat dan juga mudarat. Beliau berharap para pelajar Islam akan lebih mendapat manfaat dan sekaligus mengurangkan mudarat dari penggunaan teknologi maklumat dan media sosial pada hari ini. Habib Mahdi mengakhiri lawatan dengan jamuan makan tengahari dan foto bersama warga Kolej.





No comments:
Post a Comment