Sunday, February 1, 2026

30 November, 2023: Kunjungan Hormat kepada Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji

30 November, 2023: Pihak Kolej telah mengadakan kunjungan hormat keatas Ybhg Tuan Syed Hamadah Syed Othman, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji. Pihak Kolej telah diwakili oleh Ybhg Prof. Dato’ Muhammad Nur Manuty, Ybhg Prof. Emer. Dato’ Wira Dr Jamil Osman dan pihak pengurusan Kolej. Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Pengurus Besar dan Head Centre of Expertise (Capability) LTH. Salah satu agenda perbincangan ialah untuk menjalin kerjasama strategik antara kedua institusi dalam memberikan latihan dan pendidikan kepada generasi muda. Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengadakan beberapa siri pertemuan lanjutan untuk merealisasikan apa yang telah dibincangkan.



24 November, 2023: Seminar Antarabangsa Pendidikan Serantau dan Cabaran dalam Pembangunan Manusia

24 November, 2023: Seminar Antarabangsa Pendidikan Serantau dan Cabaran dalam Pembangunan Manusia anjuran bersama Kolej Dar al-Hikmah dan Universitas Islam Negeri (UIN) Imam Bonjol Padang dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah diadakan pada hari Jumaat, 24 November, 2023 di Hotel Seri Malaysia, Seremban Negeri Sembilan. Seramai 16 orang pemakalah telah hadir membentangkan hasil dapatan kajian dan penelitian mereka yang berkaitan pendidikan dan pembangunan manusia. 

Ucaptama telah disampaikan oleh Prof. Dr. Hj. Martin Kustati, M.Pd, Rektor UIN Imam Bonjol Padang dimana beliau menekankan kepada keperluan kerjasama dan perkongsian kepakaran antara institusi pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara. Beliau seterusnya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pembentang dan berharap makalah yang dibentangkan dapat segera diterbitkan dalam bentuk prosiding atau edisi khas jurnal yang akan dikenalpasti.


23 November, 2023: Majlis Makan Malam bersempena dengan Seminar Antarabangsa Pendidikan Serantau dan Cabaran dalam Pembangunan Manusia.

23 November, 2023: Pihak Kolej mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Aminudin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan atas kesudian menaja Majlis Makan Malam bersempena dengan Seminar Antarabangsa Pendidikan Serantau dan Cabaran dalam Pembangunan Manusia. Majlis ini diadakan di kediaman rasmi YAB Menteri Besar yang turut dihadiri oleh para pimpinan kanan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, para tetamu undangan dan para peserta seminar. YAB Menteri Besar dalam ucapan beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kolej Dar al-Hikmah dan UIN Imam Bonjol atas penganjuran seminar dan mendoakan seminar akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Beliau juga mengharapkan resolusi dan dapatan seminar dapat diajukan kepada beliau dan Kerajaan Negeri Sembilan untuk dijadikan panduan dalam membuat dasar pembangunan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

YAB Menteri Besar juga melancarkan ‘Pusat Kajian Minangkabau’ yang merupakan satu usahasama akademik antara Kolej Dar al-Hikmah dan UIN Imam Bonjol. Antara objektif Pusat ini ialah menjalankan kajian mengenai sumbangan para ulama dan ilmuwan Minangkabau khususnya dalam konteks membangun dan membina masyarakat yang berilmu.  Pusat ini juga akan menganjurkan beberapa siri bengkel yang melibatkan generasi muda di Negeri Sembilan mengenai nilai-nilai murni dalam budaya dan adat Minangkabau. Disamping itu, Pusat ini akan mengadakan beberapa siri kajian lapangan dan seterusnya menerbitkan buku dan makalah yang berkaitan.



18 November, 2023: Majlis Graduasi Kursus Pensijilan Julai – September, 2023.

18 November, 2023: Pihak Akademi Kolej Dar al-Hikmah mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah menamatkan Kursus Pensijilan disepanjang bulan Julai – September, 2023. Majlis Graduasi telah diadakan di Dewan Besar KDH pada hari Sabtu, 18 November, 2023. Prof. Dr. Zulkifli Hasan, Pengerusi Lembaga Pengarah KDH telah menyampaikan Sijil Tamat Kursus kepada peserta yang hadir. Beliau mengucapkan tahniah kepada para peserta atas kesungguhan menuntut ilmu dan memberi sokongan kepada siri pensijilan yang ditawarkan oleh Akademi KDH. Beliau juga mengupas mengenai perkembangan semasa di Palestin dan keperluan kepada umat Islam mempunyai ilmu sebagai asas kekuatan menghadapi segala ujian dan dugaan.

Pihak Akademi KDH juga memaklum beberapa Kursus Pensijilan yang akan ditawarkan pada bulan Januari – Mac 2024 antaranya termasuk Kursus Pensijilan Imam Yusuf al-Qardhawi Siri 3, Kursus Pensijilan Maqasid al-Shari’ah, Kursus Pensijilan Asas Pemikiran Madani, dan Kursus Pensijilan Asas Kaunseling Islam. Maklumat lanjut mengenai kursus-kursus ini akan dimaklumkan dalam waktu terdekat.



14 November, 2023: Lawatan Direktur Pondok Pesantren Modern Diniyyah Pasia, Kec. Ampek Angkek Kab. Agam Sumatera Barat

14 November, 2023: Pihak Kolej mengalu-alukan kehadiran Bapak Ustaz Nashran Nazir M. Pd, Direktur Pondok Pesantren Modern Diniyyah Pasia, Kec. Ampek Angkek Kab. Agam Sumatera Barat (https://diniyyahpasia.sch.id). Beliau diiringi oleh Ibu Dr. Widia Fithri, M.Hum, Dosen Fakultas Ushuluddin dan Studi Agama UIN Imam Bonjol Padang. 

Pondok Pesantren ini ditubuhkan pada tahun 1928 dan kini dipimpin oleh Drs. H. Nawazir Mukhtar, Lc adalah termasuk salah satu lembaga pendidikan Islam yang termuka di Sumatera Barat. Pondok Pasentren ini mempunyai lebih kurang 1,000 orang pelajar. Kurikulum PPMD Pasia adalah perpaduan dari kurikulum Pondok Pesantren Modern Gontor dan kurikulum madrasah tsnawiyah dan madrasah aliyah. Pengajaran bahasa Arab dan bahasa Inggris mendapat perhatian penuh dan dilaksanakan sebagaimana di Pondok Pesantren Modern Gontor. 

Beberapa kerjasama telah dibincangkan bersama Bapak Ustaz Nashran khususnya dalam usaha menjadikan KDH sebagai pusat pendidikan dan membina kepimpinan untuk para pelajar dari Asia Tenggara. Bapak Ustaz Nashran juga memaklumkan terdapat lebih dari 30 buah Pondok Pasentren di Kabupaten Agam yang bergabung dan saling bekerjasama. Pihak KDH dengan kerjasama Bapak Ustaz Nashran merancang untuk mengundang wakil-wakil dari Pasentren ini untuk mengadakan lawatan ke KDH dan institusi pendidikan dan agama di sekitar Kuala Lumpur.



Thursday, January 29, 2026

13 November, 2023: Sesi taklimat dan promosi Kolej Dar al-Hikmah bersama wakil dari Sekolah Islam di wilayah Krabi, Thailand

13 November, 2023: Sesi taklimat dan promosi Kolej Dar al-Hikmah telah diadakan bersama 25 orang wakil dari Sekolah Islam di wilayah Krabi, Thailand. Sesi ini diadakan di Sekolah Islam Thongkam. Sdr. Ketua Eksekutif KDH mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua wakil yang hadir atas komitmen mereka mendidik dan menyediakan generasi Muslim yang kuat di Thailand. Para wakil yang hadir sangat teruja dengan program-program yang ditawarkan oleh KDH dan akan berkerjasama untuk menghantar para pelajar dari sekolah-sekolah mereka untuk menyambung pengajian di KDH.



12 November, 2023: Program ramah mesra bersama jamaah Masjid Darul Muttaqin, Natungklang, Krabi

12 November, 2023: Program ramah mesra bersama masyarakat Islam telah diadakan dengan ahli kariah Masjid Darul Muttaqin, Natungklang, Krabi. Program ini dianjurkan bersempena dengan Program Bimbingan Al-Hikmah yang diadakan di Anuban Wangthong Islamic School. Majlis ini telah dihadiri oleh lebih dari 100 orang ahli kariah masjid. Pihak Kolej Dar al-Hikmah telah menyumbangkan pek barang keperluan asas kepada 15 keluarga yang dipilih. Disamping itu sumbangan tunai turut disampaikan kepada pihak masjid. Tuan Imam Abdul Razak, selaku imam masjid mengalu-alukan kehadiran para delegasi dari Malaysia dan berharap jalinan mesra antara msyarakat Islam di Krabi dan di Malaysia akan terus dipereratkan lagi.



12 November, 2023: Program Bimbingan Pendidikan Al-Hikmah Siri 1 bersama guru-guru Anuban Wangthong Islamic School, Krabi

 12 November, 2023: Program Bimbingan Pendidikan Al-Hikmah Siri 1 bersama guru-guru Anuban Wangthong Islamic School, Krabi telah diadakan dengan jayanya pada hari Sabtu, 12 November, 2023. Seramai 31 orang guru dari Sekolah Anuban Wangthong Islamic School telah mengikuti program ini. Program ini dibimbing oleh Puan Hajjah Rohana Kamarudin, Pengarah Akademi KDH serta dibantu oleh angota delegasi yang lain. Antara objektif utama program ialah:

🔹 Memberi kefahaman asas Pendidikan al-Hikmah - kesepaduan ilmu kepada para pendidik

🔹 Memberi kemahiran PdP al-Hikmah khususnya dalam subjek Sains Sek Rendah (Ruj Buku Panduan Guru, Sains Dari Perspektif al-Quran 2023)

🔹 Memulakan proses menyesuaikan kurikulum sains Anuban Wangthong bagi penterjemahan Buku Panduan Sains Dari Perspekti al-Quran ke bahasa Siam untuk panduan guru sains setempat. 

🔹 Memberi kemahiran dalam PdP 5M pengajaran Al-Quran kepada guru-guru agama.

Antara program lain yang diadakan ialah Majlis Pentauliahan Bacaan al-Mathurat yang telah dipimpin oleh Tuan Haji Abdul Rahman Yasin, Pengarah Komunikasi Korporat KDH. Majlis ini telah dihadiri oleh lebih 30 orang pelajar dewasa sekolah Anuban Wangthong. 

Ustaz Imron Lilaeh, Mudir Sekolah Anuban Wangthong mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli delegasi dari Malaysia atas kesudiaan menziarahi dan memberikan latihan kepada warga sekolah. Beliau berharap kerjasama ini akan berterusan dengan program-program yang lain di masa hadapan.



05 November, 2023: Kejohanan Catur Madani Parlimen Bangi

05 November, 2023: Pihak Kolej Dar al-Hikmah dengan kerjasama Pejabat YB Parlimen Bangi, Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Kelab Catur Elit SERI SEMI ABIM Sg. Ramal dan Traju Team telah menganjurkan Kejohanan Catur Madani Parlimen Bangi. Kejohanan ini telah dihadiri oleh lebih dari 360 orang peserta yang dibahagikan mengikut beberapa kategori.  YB Shahredzan Johan, Ahli Parlimen Bangi mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan kejohanan ini. Beliau berharap kejohanan ini diadakan setiap tahun dan menjadi satu acara besar-besaran yang dinanti-nantikan oleh para peminat sukan catur. Majlis Perasmian turut dihadiri oleh En. Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebagai Presiden Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Dr. Azlan Sulaiman sebagai Pengerusi Kelab Catur Elit SERI SEMI ABIM Sg. Ramal dan En. Muhamad Firdaus Ismail, Pengarah Urusan Traju Team. Pihak KDH mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua staff dan pelajar KDH yang telah turut membantu menjayakan kejohanan ini.



06 November, 2023: Kunjungan hormat keatas Rektor UIN Imam Bonjol.

06 November, 2023: Saudara Ketua Eksekutif telah melakukan kunjungan hormat keatas Rektor UIN Imam Bonjol. Pertemuan turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Ushuluddin dan Studi Agama UIN Imam Bonjol. Moga kerjasama antara kedua-dua institusi akan terus diperkuat dalam usaha membangun umat.



04 November, 2023: Acara Sambutan 100 tahun Perguruan Diniyyah Puteri Padang Panjang

 04 November, 2023: Saudara Ketua Eksekutif telah mewakili Kolej menghadiri Acara Sambutan 100 tahun Perguruan Diniyyah Puteri Padang Panjang. Acara ini telah dihadiri oleh Bapak Jusuf Kalla selaku Mantan Wakil Presiden Indonesia, Gabenor Sumatera Barat dan para tamu undangan dari dalam dan luar negara. Kami mendoakan semoga Diniyyah Puteri Padang Panjang akan terus diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk melahirkan pemimpin umat.



01 November, 2023: Lawatan Institute of Integrated Tahfiz Cambodia (INTAC), Kampong Cham, Cambodia

01 November, 2023: Pihak Kolej mengucapkan selamat datang kepada pimpinan Institute of Integrated Tahfiz Cambodia (INTAC), Kampong Cham, Cambodia. Delegasi ini disertai oleh Ustaz Syarqawi Salleh (Pengerusi INTAC), Ustaz Nawawi Salleh (Mudir), Ustaz Arifin Imran (Timbalan Mudir - Hal Ehwal Pelajar) dan Ustaz Nazar Zakaria (Timbalan Mudir - Hal Ehwal Akademik). Beberapa usaha kerjasama telah dibincangkan khususnya dalam rangka lulusan INTAC untuk menyambung pengajian di KDH. Kami mendoakan INTAC akan terus sukses dalam melahirkan pemimpin umat.



30 Oktober, 2023: Lawatan Dr. Hj. Abdul Aziz Hassan dan Dr. Mohar Yusof

30 Oktober, 2023: Selamat datang diucapkan kepada Dr. Hj. Abdul Aziz Hassan (Founder/CEO Aziz Hassan & CO) dan Dr. Mohar Yusof (Founder and President BinaPavo) ke Kolej Dar al-Hikmah. Pihak Kolej sangat teruja dengan ide-ide segar yang dikongsikan oleh kedua-dua tamu kita. Moga apa yang dibincangkan dapat direalisasikan, inshaAllah.